Artis Kehidupan Keluarga

Ibu terpaksa buang patung kesayangan anak. Berdiri bulu roma bila ternampak patung anak perempuan beralih sendiri.

Percaya atau tidak, tuan empunya cerita tidak memaksa untuk berbuat demikian. Katanya, hanya sekadar berkongsi kejadian ‘pelik’ yang baru saja berlaku pada keluarga mereka di mana kedudukan patung mainan anak perempuan secara tiba-tiba berubah posisi. Siapa yang mengalihkannya? Adakah patung itu ‘bernyawa’? Adakah patung bernama ‘Baby’ itu berpenunggu. Tiada siapa yang tahu dan apa yang kita semua tahu, patung itu telah dibuang si ibu kerana bimbang dengan keselamatan keluarga mereka.

ASSALAMUALAIKUM. Apa yang akak nak ceritakan ini adalah benar dan bukan rekaan. Bolehlah diambil iktibar bersama. Beberapa hari lalu, akak ada ternampak post di Facebook yang ustaz kata tak boleh simpan mainan berbentuk patung di dalam rumah. Terus terang akak cakap, akak memang tak percaya sebab Jasmine ada banyak patung di rumah, tetapi tak pernah pula berlaku sebarang kejadian yang pelik. 

Nak dijadikan cerita, Lily demam. Malam tadi sekitar jam dua pagi, badan dia panas balik dan akak bangun untuk bashkan badan dia. Sambil basahkan badan anak, akak ternampaklah patung itu dengan kedudukan seperti dalam gambar. pertama itu. Jasmine memang suka letak patungnya begitu, ‘baby’ tidur katanya.

Memang tak ambil portlah kan. Kemudian bagi susu pada Lily dan semua sambung tidur dan Lily pun tidur. Dalam lebih kurang jam empat pagi, Lily terbangun lagi dan suhu badannya naik semula. Akak pun bangunlah nak basahkan badan dia. Kemudian mata akak terus tertoleh pada patung tadi. Terus berdiri bulu roma. Kepala jadi besar tiba-tiba.

Akak tanya suami, ada tak alihkan patung itu ke? Suami cakap tak ada. Bertambah seriaulah. Mula-mula patung itu dalam kedudukan gambar pertama, tetapi kenapa tiba-tiba saja kedudukannya seperti dalam gambar kedua itu? Sumpah demi Allah, akak tak tipu. Dengan Lily demam kuat lagi ni. Akak terus teringat pada post yang ustaz kata tak boleh simpan patung itu sebab akak tak percaya kan, sekarang dah terkena dan terjadi pada diri sendiri. 

Akak kongsi sebagai peringatan bersama. Yang rasa macam tak percaya, rasa akak reka cerita itu tak apalah. Akak tak paksa untuk percaya. Tetapi satu hari nanti kalau terkena pada diri sendiri, tahulah rasa macam mana. Hehe. Ni akak nak bawa Lily pergi berjumpa dengan ustaz. Kalau tak kebah juga, kena pergi hospital lagi.

Doakan Lily cepat sembuh. Gambar-gambar di ini akak snap semula sebelum patung ini dibakar untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada semua. Masa kejadian, tak sempat nak rakam pun sebab bukan tahu insiden ini nak terjadi kan. Doakan semuanya baik-baik sahaja. 

Sumber: Aziey Mat Ghani & the reporter

Elakkan simpan patung di rumah

Sebaiknya, elakkan daripada permainan patung dan menyimpannya di rumah. “JANGAN simpan patung, nanti malaikat tak masuk rumah engkau.” Seringkali kita dengar orang selalu berkata begini, bukan? Barangkali, situasi ini pernah kita hadapi sendiri.

Tambahan pula, mereka yang ada anak kecil dan memerlukan permainan untuk merangsang perkembangan anak-anak. Lazimnya, patung menjadi pilihan ibu bapa dan ada yang kata, ia dibolehkan kerana dianggap permainan semata-mata. Benarkah? Selain itu, ada juga yang gemar menyimpan patung sebagai hiasan. Bagaimana pula dari segi hukumnya?

Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim) Imam al-Nawawi pula berkata: “Menurut para ulama, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar (makhluk bernyawa).

” Perbuatan meletakkan gambar itu sebenarnya maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan ALLAH SWT, manakala, sebahagian daripada gambar-gambar tersebut dijadikan sembahan.” Oleh itu, malaikat tidak akan masuk ke dalam rumahnya, tidak melakukan solat di dalamnya, tidak meminta keampunan bagi penghuninya, tidak memohon keberkatan seterusnya tidak melindungi penghuni rumah tersebut daripada gangguan syaitan.

Namun, hanya Malaikat Rahmah sahaja yang tidak masuk ke rumah kita. Malaikat Rahmah ialah malaikat yang memohon keberkatan dan keampunan bagi penghuni di dalam rumah tersebut. Bagaimanapun, Malaikat Hafazah masih tetap masuk ke dalam rumah kerana mereka diperintahkan untuk mencatat setiap amalan manusia.

Apabila disebut tentang rumah, ia adalah berbentuk tempat yang kita gunakan termasuk kereta dan seumpamanya. Jika mahu meletakkan patung, maka, perlu dilihat apakah maksudnya. Adakah ia patung yang dihormati, patung besar dan yang dipuja? Jika inilah tujuannya, jelas ia dilarang.

Adapun, sekiranya ia melibatkan permainan kanak-kanak kecil yang tidak diagungkan atau dimuliakan, ia dianggap sekadar barang permainan kanak-kanak. Ia kerana sikap kanak-kanak bermain adakalanya mereka melempar patung tersebut dan meleraikan anggota patung mainan.

Maka, ia dibolehkan dengan syarat ia bukanlah patung yang besar dan hanyalah semata-mata patung kanak-kanak. Pun begitu, kita disyorkan supaya mengelakkan permainan patung itu supaya tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan pemujaan dan sebagainya.

Sebaiknya, gantilah dengan hal-hal yang boleh mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah apabila kita meninggalkan perkara-perkara yang khilaf seperti ini. Semoga kita dapat mendidik keluarga dan anak-anak kita agar benar-benar menghayati agama sebaik mungkin.

sumber: sinar harian