Jatuh talak kalau suami balik pada perempuan itu. Rupanya dah lama talak jatuh, mahkamah membuat rujuk untuk mengesahkan bayi dalam kandungan supaya tidak berbintikan Abdullah

Kehidupan Perkahwinan

Suami pernah lepaskan taklik jika masih bersama wanita itu, talak akan jatuh. Rupanya suaminya tidak pernah tinggalkan wanita itu, rupanya telah lama taklik jatuhperkahwinan mereka

Foto sekadar hiasan. Saya telah berkahwin dengan seorang lelaki lebih dari 10 tahun. Dalam masa 10 tahun ini, kami telah dikurniakan 3 orang anak. Alhamdulillah anak2 saya sangat sayangkan saya. Tapi, dalam masa 10 tahun ini, saya hanya berendam air mata.

Suami saya garang. Nafkah saya tidak pernah bagi. Tak apa lah saya pun bekerja. Baju raya, makan raya dan sebagainya tidak pernah. Dia cuma beri beberapa ratus untuk 3 orang anak yang sedang membesar. Sukan, hari report kad, peperiksaan, semua dia tidak ambil tahu, katanya sibuk kerja. Saya redha pada waktu itu. Alhamdulillah.

Dalam masa 10 tahun ini saya lah yang keluarkan duit untuk bayar makan minum anak, baju, buku anak, kereta dan sebagainya. Tapi, alhamdulillah, duit rumah dibayarnya, walaupun selalunya lambat. Tapi itu saya masih boleh terima. Saya tidak mengharapkan kemewahan.

Suami saya seorang yang baran. Kata-kata yang dikeluarkan selalunya sangat pedih. Anak-anak cukup takut dengan dia. Tapi, ini masalahnya. Apabila dia menyesal, dia boleh menjadi suami yang paling romantik. Saya lah wanita terhebat di waktu itu. Saya memang merasa dia sayang saya pada waktu itu.

Tapi, di dalam lubuk sanubari saya, saya memang merasakan dia bukan suami yang saya mahu. Dia amat biadap dengan ibu dia, tidak baik dengan adik beradik, dan apabila dia marahkan anak, dipukulnya. Pernah di depan orang lain dan sampai keluar cairan merah pun pernah. Bila saya cuba untuk menghalang, dimarahnya saya, katanya derhaka dengan dia.

Tiap-tiap hari waktu solat, saya minta petunjuk Allah. Sampai bila hendak hidup macam ini. Sampai patah tangan anak-anak saya? sampai pecah kepala? Dan ini lah masalahnya, bila dia menyesal, dia akan ambil hati kami semula. Kami umpama berada di dalam satu keluarga yang sangat toksiik.

Apabila anak saya yang ketiga dilahirkan, suami saya sudah jarang sentuh saya. bertahun-tahun. Hati saya tertanya-tanya samada dia mempunyai masalah kesihatan. Tapi saya tidak bertanya. Saya cuma menyalahkan diri kerana telah naik badan setelah beranak tiga kali. Saya kemurungan. Kadang-kadang saya pun marah anak-anak saya sebab saya sendiri tidak gembira.

Saya pernah bertanya kenapa dia tidak mau sentuh saya? Dia suruh saya tidur dengan lelaki lain. Ya Allah, jatuh jantung saya rasanya. Saya hanya mampu menangis. Suami saya memang jarang berada di rumah. Dia selalu kerja di luar negara. Pangkat dia besar. Sedihkan, sebab dengan kami, dia kedekut. Apabila dia selalu tidak ada dirumah, anak-anak saya amat gembira. Sedih saya dengan keaadan ini.

Beberapa tahun lalu, pada bulan puasa, dia memberi satu kejutan untuk saya dan anak-anak. Katanya, dia telah berkahwin dengan seorang wanita di Selatan Thailand. Saya tak marah. Saya cuma menangis dan sekali lagi menyalahkan diri. Saya bertanya adakah sebab saya sudah tidak cantik? Dia menjawap, itu hak dia. Saya bertanya kembali, hak saya macam mana? Hak saya telah ditidakkan selama beberapa tahun.

Saya balik ke rumah keluarga saya malam itu. Dia keluar rumah kerana saya ingin tenangkan fikiran. Saya pergi ke Pejabat Agama dan mereka telah memberi tahu saya layak untuk meminta fasakh kerana memang dia tidak memberi nafkah kepada saya. Suami saya meminta agar dia diberi waktu sebulan. Katanya, dia mau tinggalkan perempuan itu, kerana perempuan itu telah mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Saya tidak pernah meminta dia menceraikan perempuan itu kerana pada pendapat saya, kalau orang sudah tidak sayangkan kita. jangan paksa. Akhirnya saya setuju dan dalam masa sebulan, banyak saya habiskan masa mendekati diri dengan Allah.

Setelah puasa berakhir, dia pulang ke rumah dengan mengatakan, dia telah menceraikan perempuan itu dan ingin tinggal bersama saya. Dia bersumpah dengan Quran yang dia telah menceraikan perempuan itu. Dia telah melafaskan taklik, jika dia kembali ke perempuan itu, saya tidak perlu minta fasakh dan talak akan jatuh sendiri kepada saya.

Saya terima taklik itu sebagai aku janji . Dan, atas nasihat keluarga, saya terima dia kembali, dengan syarat, dia berubah. Selama masa itu, banyak perubahan saya nampak pada dia. Dia lebih lembut. Dengan anak-anak dia berlembut. Dia belanja saya baju, dan gelang. Duit baju raya anak-anak pun dia telah bagi buat pertama kalinya. Dan dia telah sentuh saya kembali.

Nikmat Allah, setelah 7 tahun, saya mengandung kembali. Akan tetapi, perangai baiknya, hanya sekejap. Setelah beberapa bulan, dia jadi garang kembali. Selalu keluar. Hati saya seperti dirobek-robek. Dalam hati, saya syak ada sesuatu yang tidak kena. Kami sering bergaduh. Saya amat sedih waktu itu.

Di malam raya, dia keluar rumah. Katanya ada kerja di ofis. Balik pkul dua pagi. Saya bertanya kenapa dia balik lambat. Saya dimarahnya, dan digelar isteri tak guna, hendak mengawal dia sahaja. Kami bergaduh. Macam-macam dia tuduh saya. Katanya saya lebihkan ibu saya. Sejujurnya, saya tidak pernah cerita pun masalah saya yang bertahun-tahun lama ini dengan ibu saya. Kawan-kawan saya semua tidak tau, kerana saya hendak menjaga maruah dia sebagai suami saya.

Malam itu, saya menangis sampai satu malam. Saya tengah mengandung 4 bulan waktu itu. Keesokan hari nya, saya ambil telefon dia dan telah call seorang rakan dia. Selama mana saya berkahwin dengan dia, tidak pernah saya sentuh telefon dia. Tidak sekali pun. Saya amat percaya yang dia akan setia walaupun perangai dia tak elok. Saya yang bod0h sebenarnya.

Pada hari itu, hari bersejarah buat saya, saya dapat tahu yang dia tidak pernah menceraikan wanita itu. Maka, dengan itu automatiknya, takliq yang telah disebut sebelum ini, telah jatuh. Saya telah diceraikan beberapa lama. Sebelum saya mengandung lagi sebenarnya. Allah maha Besar, terbukalah hijab wayang yang telah dilakonkan kepada saya.

Perempuan itu telah lama bercinta dengan suami saya. Telah berjalan ke luar negara berkali-kali, bersuka-suka, sementara saya di rumah umpama orang gaji, membela anak-anak tanpa pembantu. Saya tidak pernah dibawa ke luar negara apatah lagi anak-anak saya.

Saya merujuk kes saya ke mahkamah dan mahkamah mendapati, memang telah jatuh talak ke atas saya. Tetapi, disebabkan sebenarnya saya tidak tau apa-apa, saya ditipu bulat-bulat dan saya mengandung, mahkamah telah membuat rujok untuk mengesahkan bayi dalam kandungan saya supaya tidak berbintikan Abdullah.

Pada waktu itu, saya mendapat kesedaran. Seorang ayah yang manakan yang mampu melakukan sebegini kepada keluarganya dan anak-anak? Seorang suami manakan yang sanggup menipu sepanjang perkahwinan ke isteri ? Mana pergi belas kasihan seorang suami melihat isteri dia kehulu ke hilir bawa anak pergi klinik tengah malam, demam batuk, sendiri bawa kereta ke hospital.

Sehari selepas saya melahirkan anak ketiga, dia pergi ke luar negara, konon nya kerja. Saya dapat tau, dia pergi dengan perempuan itu. Bayi dalam kandungan hampir menjadi anak haram kerana penipuan dia. Saya nekad. Cukup di sini kisah kami. Saya perlu keluar dari perkahwinan ini. Tiada rahmah, tiada mawaddah, tiada kasih cuma wayang.

Suami saya keluar rumah pada waktu itu kerana saya kurang pasti apa status saya. Tapi semenjak dari itu, dia pun tiada kata ingin kembali. Akan tetapi, saya digantung tidak bertali. Di biarkan sahaja selama dua tahun. Walaupun begitu, dia masih memberi wang untuk anak-anak dan saya bersyukur.

Saya mengandung sendiri, pening muntah sendiri. Sendirilah bawa kereta ke hospital. Sendiri jumpa doktor. Sendiri jaga anak. Sendiri hantar anak2 ke sekolah, tuisyen, mengaji. Menangis sendiri didalam bilik air hampir tiap-tiap malam. Mengenangkan, betapa bodohnya saya. Semuanya sendiri. Sebenarnya tak banyak beza dari dulu. Saya melahirkan anak saya tanpa suami di sisi. Anak-anak saya yang lain pun dia tidak ada kerana semua dibedah. Saya redha. Bukan rezeki saya.

Beberapa bulan lepas, saya membuat pemohonan di mahkamah setelah dua tahun ditinggalkan. Alasan untuk bercerai, saya letak, CURANG. Apabila hakam bertanya, betul? Setuju? Selamba aje dia jawab.. SETUJU. (Saya sedar di sini bahawa dia adalah seorang narcissistic)

Sekarang saya dalam IDDAH. Saya masih belum membuat tuntutan hadanah, nafkah, duit eddah dan mutaah. Rasa letih. Tapi untuk anak saya yang telah saya lahirkan ini saya perlu. Panjang cerita saya kan. Ini yang saya boleh rumuskan, jika cerita saya ini hendak diberi teladan:

Suami saya tau, hidup saya hanya untuk Allah dan keluarga. Saya tidak keluar bersosial. Masa saya hanya untuk kerja dan keluarga. Jadi, jika dia keluar ke mana-mana, saya memang takkan tau. Suami saya tau, saya memang akan maafkan dia. Saya tidak kata saya seorang yang tidak berdosa.

Banyak dosa saya dengan dia sebab saya marah dan sedih bila kami dilakukan sebegitu. Tapi, satulah pasal saya. Bila dipujuk, saya akan terima. Ayah saya melakukan benda yang sama kepada mak saya, jadi dia tau, saya tidak mau anak2 saya menerima nasib yang sama macam saya. Jadi dia tau, saya takut bercerai.

Saya memang seorang yang setia dan senang percaya dia. Dan saya tidak akan bercerita dengan orang lain. Ibu saya sendiri pun saya tidak pernah cerita. Begitu terkejutnya dia apabila akhirnya, saya menceritakan semua ini. Dan atas sebab-sebab diatas, dia telah mengambil kesempatan ke atas saya.

Saya ingin berkongsi kisah saya untuk pengajaran yang boleh diambil dari cerita saya. Bercerai tidak salah. Hadith yang mengatakan cerai adalah yang dibenci Allah. itu adalah hadith palsu. Cuba sedaya mungkin untuk menyelamatkan keluarga kita. Tapi apabila sampai waktu dimana:

Hilang kepercayaan. Hilang rasa hormat. Hilang rasa sayang, kesian dan compassion. Selalu bergaduh. Anak2 sering dimarah dengan teruk. Fikir balik, adakah ini yang dijanjikan oleh Allah di dalam sebuah perkahwinan? Jadi, wanita-wanita di luar sana, pertama sekali, jangan sekali-kali menghancurkan hidup wanita lain. Allahuakbar, doa orang yang teraniaya, tiada hisab. Jika maupun berpoligami, lakukan cara yang baik. bukan buat maksiat dan kahwin lari ke Thailand.

Kedua, berdiri atas kaki sendiri, jangan bergantung pada orang lain. Ketiga, jangan risau orang akan berkata pasal kita bercerai. Bila mereka mengumpat kita, pahala mereka, kita dapat. Allah dah janji itu. Keempat, hidup ini bukan untuk merendam air mata. Kita ada objektif yang lebih besar dalam hidup, yakni, untuk kembali kepadaNya. Mampukan kita buat itu kalau kita asyik bergaduh.

A happy mother, raises happy children. Macamana saya hendak bimbing anak2 saya kejalan Allah jika saya sendiri kemurungan. Saya sudah habiskan 2 tahun hidup saya menangis. Sekarang masa untuk saya bangun. Anak-anak makin gembira dan tidak kisah pun ayah mereka jarang tengok diaorang.

Saya memang suruh mereka jumpa ayah mereka kerana tidak mau mereka berdosa, tapi mereka tidak mau. Takpe pelan-pelan saya pujuk. Saya bersyukur pada Allah yang Dia telah memberi saya ujian ini kerana tanpa ujian ini, saya tidak akan dapat anak saya yang ke empat ini. Dan saya sedar, Allah hanya akan uji mereka yang dia sayang.

Di sini, saya ingin mengatakan, saya bukanlah sinless, tiada dosa. Saya seperti wanita lain, terlampau emosi. Tapi, saya sangat berdedikasi dengan keluarga saya, anak-anak saya. Saya tidak keluar bersama rakan selalu hanya bertanya khabar melalui telefon. Saya berkorban segalanya untuk keluarga saya. Tiada apa pun yang suami suruh buat, saya tak buat. Semua arahan dia, saya patuhi, kecuali jika dia bergaduh dengan ibu dia dan bila dia baran dengan anak. Saya sendiri tak tau apa salah saya. Saya tertanya-tanya.

Akhirnya, adik dia sendiri mengatakan bahawa dia dari mula-mula kawin pun, tidak pernah setia. Selalu dia jumpa dengan perempuan lain. Saya hanyalah sebagai pelakon dalam wayangnya. Saya telah menghabiskan lebih dari 10 tahun perkahwinan, di dalam satu wayang gambar. Orang nampak seperti keluarga kami bahagia, memang narcissist begitu. Tapi dibelakang tabir, hanya saya dan anak-anak sahaja yang tahu. Dia tidak sayang saya. Saya terima itu.

Saya memohon dosa-dosa saya yang lepas, dihapuskan dengan ujian ini. Inshaa Allah. Saya harap bekas suami saya itu berbahagia dengan apa yang telah dia lakukan. dan mencapai apa yang dia inginkan selama ini. Jika perempuan itu, mampu membuat dia bahagia, alhamdulillah. Setidak-tidaknya sakit saya atas menindasan ini, berbaloi baginya.

Sumber : kuasaviral