Mak ayah selalu menghukum anak mereka sendiri sehingga mengatakan anak perempuannya murahan

Agama Kehidupan Keluarga Sedih

Assalamualaikum, terima kasih kepada admin jika kisah ini di publish. Sejak dua tiga hari ni banyak juga yang share masalah family yang tak berapa bahagia. Aku pun rasa terpanggil juga untuk share apa yang aku alami. Mungkin diluar sana juga mengalami situasi yang sama macam aku.

Aku anak perempuan tunggal dalam keluarga dan juga anak sulung. Tanggungjawab juga semua terletak dibahu aku sebagai seorang anak dan kakak kepada adik-adik. Ingin dijadikan cerita, aku dibesarkan dalam keluarga yang serba sederhana, sejak aku membesar dan perlahan-lahan menginjak ke alam dewasa, ayah selalu membanggakan anak sedara yang pernah dijaganya dulu.

Anak sedara ayah kerja besar, ada rumah sendiri, tiap tahun dapat bonus beribu, dapat bayar duit rumah ayah dia cash. Cuma aku terlalu banyak tersinggung dengan ayah mahupun mak aku sendiri, how come they can make a differences between 20 years old girl and 35 years old woman?Keluarga belah ayah semua berada, anak-anak sedara ayah semua berjaya berharta. Aku? Masih merangkak untuk membina kehidupan yang lebih baik. Tapi aku sabar, mungkin itu adalah satu dorongan utk aku terus kuat.

Mak, tak pernah sekali pun bercakap lembut dengan anak-anak. Carut dan maki dah jadi makanan harian aku sebagai anak. Kadang-kadang mak suka cakap benda yang merepek dan aku tak senang dengan sikap mak yang suka mengapi-apikan kami adik-beradik. Kadangkala mak dan ayah sering berkata aku sering keluar dengan lelaki dan beri duit kepada lelaki. Sedangkan seorang boyfriend pun aku tak pernah ada, jika setakat kawan tu pun bukannya aku bergaul mana.

Aku sayang mak, tapi aku sebaig anak terlalu mengidamkan seorang mak yang lembut tutur katanya, supportive. Tapi aku hanya bawa sifat yang aku inginkan itu pada adik-adik aku saja. Aku tak nak adik-adik nampak aku sedih, aku nak diorang gembira dengan aku. Itu dah cukup bahagia untuk aku.

Mak ayah sering bertelagah walaupun perkara sekecil kuman pun. Sampai satu tahap ayah malukan aku sekali dihadapan adik beradik dia, sakit. Paling aku tak boleh lupakan ayah kata aku ni perempuan murahan, bodoh, tak ada manfaat untuk keluarga. Apa yang sepupu sepapat aku buat? Mengata sedap-sedap tentang keluarga kami.

Kadang-kadang ayah aku suka membebel tanpa sebab, sampai cakap benda yang merepek-merepek. Ayah tak boleh nampak aku bergelak ketawa ataupun bersenang-senang untuk bersantai dengan adik-adik. Dia akan membebel. Sebenarnya, hati aku dah lama rasa jauh dari mak ayah aku sendiri.

Sampaikan aku merasakan orang sekeliling aku sedang mempersetankan aku. Sebab keluarga kami bukan keluarga yang senang. Sampai satu tahap, hati aku rasa sunyi teramat. Aku memerlukan seseorang utk bercakap dan memahami aku, tapi selalunya akan diakhiri dengan sakit hati. Orang akan stay away dari aku.

Sebulan yang lepas, aku keluar dengan kawan-kawan lama. Semua macam pelik dengan perlakuan aku dan body language aku dah tak sama macam kebiasaan. Ya, aku seorang yang talkactive dan suka bercerita apa yang terjadi dalam kehidupan seharian aku.Dan salah seorang yang perasan dengan keganjilan aku, tegur yang tubuh badan aku dah kurus, cara percakapan aku pun laju dan aku lebih banyak berdiamkan diri atau sekadar menyampuk. Sedang aku sendiri tak pernah perasan tentang diri aku. Dan aku pun ditegur dengan kawan lain, aku dah mula menjauh.

Aku jarang keluar bilik. Aku lebih banyak tengok telefon. Dan emosi aku pun dah mula tak stabil, akan ada masa aku menangis sambil ketawa. Aku dah mula jadi panas baran, aku pukul adik-adik aku. Aku sendiri tak sedar. Aku cakap sorang-sorang, sampai makcik aku kata aku dah dapat baka gila dari mak aku. Ya, aku memang dah gila. Aku seolah terasa aku lebih memerlukan orang lain dari keluarga aku sendiri. Hati aku rasa jauh sangat.

Apa yang ayah dan mak nampak, aku malas, kuat tidur, tak produktif. Padahal dalam kepala ni berperang dengan bermacam perasaan. Aku dah jarang bercakap dengan mak ayah. Aku lebih banyak diam. Dan aku dah mula tak senang dengan parents aku sendiri, bukan aku rasa diorang bukan mak ayah yang terbaik, tapi tak tahu benda apa yang membuatkan aku rasa macam tu.

Aku rasa lost, masa aku belajar di tingkatan 6, kepala aku tak boleh nak masuk apa benda yang dibelajar. Aku jadi pelupa. Aku tertekan. Emosi aku bercelaru. Aku rasa nak pergi dari sini, tapi macam mana dengan mak ayah? Tapi aku cuba tahankan juga.

Sampaikan satu hari aku seolah menagih kasih dan perhatian orang lain. Aku ada satu kelemahan, aku takut kehilangan orang yang aku rasa senang utk berkongsi bermacam benda. Apa rasa, bila kau rasa happy tapi tak ada siapa nak dengar cerita kau?

Ayah, lebih senang dengar cerita anak sedara kesayangan dia. Sampaikan keperluan aku nak belajar pun dia tak nak peduli, sampaikan aku sanggup mencuri duit orang sebab terlalu mendesak. Sampai aku rasa terlalu hina untuk hidup lagi. Aku dah jatuh terduduk.

Orang lain seronok ketawakan aku.Cakap pasal hari raya, sejak aku berumur 15 tahun aku benci dengar lagu raya apatah lagi untuk berkumpul dengan keluarga lain dikampung. Aku tak pernah excited langsung, sebab aku terlalu banyak tengok sinetron yang dibuat oleh keluarga-keluarga mulia mereka.

Sejujurnya kehidupan aku terlalu lah urban sejak keluarga aku tak beberapa nak kukuh tiangnya. Aku sanggup cari ubat kesedihan aku dengan cara yang tak elok, aku bergaul dengan lelaki entah apa-apa. Sebab aku rasa seronok, sebab mereka sayangkan aku, dan rasa disayangi tu yang aku idamkan selama aku membesar.

Sanggup aku mempertaruhkan maruah yang aku jaga selama ni semata-mata nak rasa kasih sayang tu.Ayah, ayah kena tahu yang maruah yang ayah kata murahan selama ini pun dah tak ada harga pun. Nak kecam, kecamlah. Aku dah tak lalu dengan seksaan mental dari keluarga sendiri. Apa pun korang kena tahu, aku masih sayangkan parents aku tapi pada masa yang sama hati aku dah terlalu tawar untuk bergembira dengan mereka.

– Ayana (Bukan nama sebenar)