Kehidupan

Memperbaiki kekurangan diri kerana kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha.

Dilihat sebagai antara pelakon yang sedang laris memenuhi pelbagai tawaran, pelakon dan pengacara jelita, Mira Filzah tidak mahu selesa dengan pencapaian yang diraih Mira sebaliknya, berhasrat mengikuti kelas lakonan untuk terus mengasah bakat kerana tidak mahu dikatakan hanya bersandar pada populariti.

Pelakon filem Sangkar itu berkata, dia perlu memanfaatkan kepercayaan yang diberikan untuk memperbaiki kekurangan diri kerana kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha.“Kekangan masa membuatkan hasrat memasuki kelas lakonan sering tertangguh. Saya bermula dengan tangan kosong, tanpa sebarang asas dalam bidang seni. Namun, peluang demi peluang yang diraih memberikan saya ruang untuk terus memperbaiki diri.

“Saya bagaimanapun, sentiasa mengingatkan diri supaya tidak selesa dengan pencapaian. Setiap tahun, saya meletakkan sasaran tertentu untuk dicapai dan memasuki kelas lakonan adalah antara usaha saya memantapkan bakat yang ada.

“Saya berharap tahun depan berpeluang menjayakan naskhah berat, sekali gus membuktikan kesungguhan saya menjadi pelakon terbaik,” katanya.Selepas mencipta fenomena menerusi drama, Lelaki Kiriman Tuhan dan Pujaan Hati Kanda bergandingan dengan Remy Ishak, populariti Mira semakin utuh apabila lakonannya bersama Ben Amir dalam Sweet Dreams mendapat pujian ramai.

Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman juga mampu menarik nafas lega apabila filem Sangkar lakonannya turut meraih kutipan selesa dan masih ditayangkan di pawagam.“Banyak ujian yang saya lalui ketika menjayakan Sweet Dreams. Secara peribadi, saya tidak sangka drama ini mendapat sambutan yang begitu hebat daripada penonton. Saya berterima kasih kepada pengarah, Michael Ang kerana banyak memberikan tunjuk ajar.

“Begitu juga Ben yang memudahkan kerja kami di lokasi penggambaran, Biarpun pada permulaan, dia agak pemalu, kami tidak sukar mencari keserasian. Dia berbakat besar, malah kesungguhannya ketika penggambaran menjadi pemacu untuk saya turut memberikan yang terbaik,” katanya.

Meraih pencalonan tertinggi pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 dengan tujuh pencalonan menerusi enam kategori, Mira dilihat sebagai antara finalis yang mempunyai harapan besar mengungguli trofi Bintang Paling Popular, selain Siti Nordiana.Mengulas mengenainya, Mira berkata, harapan besar yang diletakkan peminat di bahunya membuatkan dia sedikit gusar. Secara jujur, Mira bimbang jika nanti dia mengecewakan harapan mereka.

“Sebelum ini, peminat pernah menangis dan kecewa apabila saya tewas dalam sebuah acara anugerah. Ia membuatkan saya berbelah bahagi hingga pada satu tahap saya tertanya sendiri, apakah saya belum cukup baik?“Apa sahaja boleh berlaku, terutama pada acara anugerah membabitkan undian peminat. Menang kalah itu adat bertanding, saya hanya serahkan pada rezeki,” katanya.

ABPBH 32 menyaksikan Mira dicalonkan bagi kategori Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular, Pelakon Wanita Popular Alha Alfa dan Pelakon Filem Wanita Popular.Namanya turut membolosi dua kategori online, impak gandingannya bersama Remy Ishak dalam menerusi dua pencalonan bagi kategori Gandingan Serasi Drama Popular, selain Gandingan Serasi Filem Popular.

artikel lain : Jelita luar dan dalam

MEMPUNYAI pakej lengkap dalam penampilan yang bukan sahaja jelita di luar malah turut memiliki kecantikan dalaman membuatkan pelakon Nur Amirah Filzah Badioezaman atau Mira Filzah, 26, sering menjadi perhatian ramai.Tidak mahu terus hanyut dengan pelbagai pujian, Mira mengaku tidak pernah terlintas untuk melakukan sebarang rawatan untuk mengubah bentuk wajahnya menjadi lebih jelita.

“Peminat sentiasa mahu lihat artis tampil cantik sedangkan mereka tidak tahu susahnya mahu kekalkan kecantikan. Jadi saya faham situasi artis lain yang melakukan perubahan pada muka mereka.“Bagi saya itu hak masing-masing. Saya tidak boleh komen lebih kerana kita tidak tahu keperluan orang lain sebab tidak berada di tempat mereka,” luah Mira.

Menurut Mira, dia lebih senang melakukan rawatan wajah secara tradisional dan menghabiskan masa di spa dan itu sudah memadai.“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak buat apa-apa pada muka. Jujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk melakukan pembedahan.

“Saya lebih suka buat rawatan muka secara tradisional. Tak perlu bersusah payah kerana perkhidmatannya boleh didapati di mana sahaja. Ia bagus untuk membersihkan dan menyegarkan kulit dan paling seronok apabila wajah kita diurut. Rasa tenang sangat,” ujarnya.

Jelas Mira, dia sangat selektif kerana khuatir rawatan yang dilakukan itu akan meninggalkan kesan sampingan pada wajahnya.“Saya takut melakukan rawatan moden kerana risau jika memberi kesan kurang elok pada wajah.

“Macam-macam boleh jadi apabila kita terlalu banyak menggunakan bahan kimia. Apa-apapun itu hak masing-masing,” luahnya lagi.Bakal bergandingan dengan Remy Ishak dan Zul Ariffin menerusi filem Sangkar, Mira teruja untuk mendengar maklum balas peminat dan penonton tidak lama lagi.

“Saya akan bawa watak Memey, iaitu satu-satunya ‘bunga’ atau perempuan dalam filem ini. Kalau ikutkan inilah gandingan pertama saya dan Remy.“Gandingan kali pertama ini tidaklah susah sangat kerana kami bawa watak sebagai adik dan abang. Jika sebelum ini agak berat kerana kami jadi pasangan kekasih dalam drama.

“Bercakap pasal filem Sangkar, penggambaran filem ini agak mencabar bagi saya kerana perlu memberi komitmen kepada drama lain ketika itu. Apa-apapun saya sudah memberikan yang terbaik hasil kerjasama dengan pihak produksi yang sangat bagus,” katanya.

Disoal tentang hubungan bersama Remy, jelas Mira, mereka masih berstatus kawan dan tiada yang istimewa dalam perhubungan itu.“Ingin saya katakan sekali lagi walaupun sudah berkali-kali menjelaskannya, saya dengan Zizan dan Remy tidak ada apa-apa hubungan istimewa. Kami berkawan.

“Saya banyak belajar tentang pengacaraan daripada Zizan. Dia juga tidak kedekut ilmu untuk berkongsi pengalamannya. Begitu juga Remy, seronok bekerjasama dengannya dan saya tidak kisah jika digandingkan lagi pada masa akan datang,” luah Mira.