Saat hamil 7 bulan ibu mengandung ni tak kisah panjat pagar, tapi bila bayi lahir tak henti nangis, suaminya goncang anaknya supaya diam

Kehidupan Keluarga Perkahwinan

Foto sekadar hiasan. Assalamualaikum. Apa yang ingin ku kongsikan ialah bagaimana emosi ibu mengandung mempunyai pengaruh yang besar ke atas pembentukan sifat/emosi anak. Aku tiada bukti saintifik untuk menyokong fakta ini. Rumusan ku adalah hasil dari pemerhatianku terhadap hidupku sendiri.

Pengenalan : Aku adalah ibu untuk 5 cahaya mata. Seorang perempuan, empat lelaki. 2 dengan suami dahulu, 3 dengan suami sekarang. Tulisan ini akan banyak berkisar tentang anakku yang 2 pertama itu kerana ketika itu aku sedang dilanda dugaan rumahtangga yang agak hebat.

Anak Pertama

Aku bunting pelamin. Ketika itu aku kerja di KL, menetap di pinggir bandar. Kenderaan hanya satu dan aku tiada lesen memandu. Suami juga bekerja di KL namun kerjanya syif. Adakala aku terpaksa tunggu di surau sampai lewat malam menunggu suami habis syif.

Esoknya pula kena keluar seawal 6 pagi menaiki bas/lrt atau dihantar suami. Masa tu semua masih indah. Aku bersemangat, bertenaga, berdikari, gembira, rasa macam hidup dah lengkap ada suami dan bakal ada anak. Sampai pernahlah satu kali ni tertinggal kunci, ku panjat pagar rumah dengan perut boyot 7 bulan.

Pil obimin ku makan dengan gigih. Siap ambil pil minyak ikan laut dalam yang dijual oleh wakil MLM (el***) kepada bapaku. Katanya sangat bagus untuk otak bayi dalam kandungan. Tiba masa, bayi lahir 3.3kg. Ceaserian. Hasilnya : Anak ini (Satu) hatinya cekal. Bijak. Cepat bercakap. Behave. Independent.

Semuda usianya setahun lebih dia dah menyaksikan pergolakan rumahtanggaku (pergaduhan ayah ibunya), menemaniku menjual aiskrim di tepi sekolah saat perutku sedang memboyot dengan adiknya. Menelan amarahku ketika aku dilanda angin meroyan. Mengenepikan perasaan sendiri untuk dahulukan adik yang terjejas emosi, dan ibu yang tidak stabil emosinya.

Aku bercerai ketika Satu umurnya 4 tahun. Berkahwin lain ketika usianya 6 tahun. Suami baruku menjarakkan hubungan dengan Satu kerana tidak ingin timbul fitnah dari bapa kandungnya. Bapa Satu pula telah berkahwin lain tapi lambat dapat anak maka selama itulah Satu dilayan dengan baik sekali, dibawa berjalan setiap kali giliran bapanya, dijanjikan dengan yang indah2. Namun yang indah2 mula pudar bilamana mereka punya anak sendiri.

Seperti keinginan anak2 gadis lain, Satu mungkin ingin sekali bermanja gegirl like dengan aku. Tapi entah kenapa aku kekok. Mungkin kerana aku lebih rapat dengan bapaku ketika kecil. Tambah pula aku sering terasa yang Satu lebih sayangkan bapanya maka aku cepat “panas” bila dengan Satu.

Di usia 9 tahun, Satu memilih untuk tinggal bersama bapa kandungnya lantaran satu kejadian aku memarahinya. Aku pula terbiasa memarahi dengan ayat “kalau dah pemalas sangat pergilah duduk dengan bapa”. Malam itu juga Satu terus kemas barang dan bapanya datang ambil Satu dan adiknya Dua.

Keputusannya membuatku emosi teruk. Berkali-kali kubuat solat istikharah dan solat hajat. Kumohon Allah redhakan hatiku jika ini yang terbaik untuk kami. Dua hanya bertahan 2 minggu sahaja dengan bapanya, kemudian balik semula tinggal denganku. Tapi Satu mahu terus bersama bapanya. Marah2 seorang emak, manalah tahan berpisah dengan anak. Selepas beberapa bulan akhirnya aku dapat terima kenyataan dan teruskan hidup tanpa Satu bersama kami.

Setelah 3 tahun, adik2 di sana semakin bertambah dan rapat2 pula. Layanan bapa dan ibu tiri mula berubah, banyak janji2 bapanya yang tidak tertunai. Maka dia mohon untuk kembali tinggal denganku. Alasannya dia nak UPSR, di sana tak dapat belajar asyik kena jaga adik. Kami terima dia kembali. Kali ini bila aku marah pun dia telan sahaja, ubah dirinya, dan cuba ambil hatiku.

Kini umurnya 15 tahun. Fikirannya matang. Kami dah boleh heart to heart talk tentang majoriti perkara termasuk lelaki. Walaupun dia seorang yang menjaga aurat, mungkin kerana adik ramai lelaki, dan dia dibesarkan agak keras maka dia jadi agak tomboy.

Anak Kedua

Dua hadir ketika aku sedang cuba untuk menjarakkan kehamilan. Satu baru berusia 7 bulan, aku dah hamil lagi. Lantaran Satu lahir melalui operation, aku khuatir sangat jahitan terbuka kembali. Ada orang pernah cakap jangan makan obimin banyak sangat nanti anak besar. Maka aku sangat2 kurang makan obimin. Pil2 lain pun tak ada. Nak beli tak mampu kerana tak bekerja.

Kenapa aku tak bekerja? Sebab aku terasa macam suami seakan mengambil kesempatan atas kewanganku. Mentang2 gaji ku lebih besar darinya, dilonggokkan semua bayaran ke atasku. Bila cuba berbincang, dia aje nak menang. Aku terpaksa mendiamkan diri kerana malas gaduh. Apatah lagi ternampak dia seakan mementingkan kawan2. Dan di antara “kawan”nya itu ada seorang perempuan yang agak kucuriga hubungan mereka.

Lalu aku berhenti kerja. Dia mengamuk kerana kini semua kewangan atas bahunya. Sebagai tanda protes dia akhirnya mengaku “kawan perempuan” tu bakal maduku. Katanya itu hak dia, aku tak boleh halang, dia mampu kahwin lagi. Pfftt..

Aku cuba berbincang, cuba ambil hati suami, cuba serang perempuan tu. Tipikal drama tv3 kan. Setiap apa yang kulakukan suami akan tengok aku dengan pandangan benci /menyampah /kecewa. Jiwaku sakit. Boleh kata hari2 aku menangis.

Makanan harian kami nasi, kicap dan telur. Katanya dia dulu hidup susah. Itulah makanan dia jadi hadap sajalah. Aku tak boleh terima. Ibu bapaku kalau bab anak nak makan sanggup bergolok gadai untuk kami adik beradik. Takkan aku nak tengok je anak ku makan nasi kicap?

Aku nak bekerja, perut pula memboyot. Ku fikir takkan ada majikan yang nak ambil ku kerja. Belanja untukku tiada. Minta duit dapur pun bagi dengan muka terpaksa. Lalu ku tahan telinga dan gunakan namanya untuk beli peti ais besar sikit secara ansuran.

Dengan janji yang aku akan bayar ansuran tanpa culas. Aku buat aiskrim malaysia, beli jajan sikit dan tunggu di luar sekolah rendah. Alhamdulillah semakin maju. Lepaslah setakat nak buat belanja dapur, beli makanan yang cukup zat.

Di kala sebulan dua lagi nak menjelang kelahiran, tiba2 suami bagi berita dia nak berhenti kerja. Aduh, dia buat hal lagi. Bisik hatiku. Aku tanya kenapa. Katanya dia cemburu denganku. Hari2 pegang duit banyak. Jadi dia pun nak berniaga. Sangat *facepalm* ok.

Hasil jualan kalau bagus dapatlah seratus lebih. Paling teruk dapat puluh2. Tolak nak rolling untuk kos barang lagi. Aduh ceteknya akal. Aku tak menyokong, tak menghalang. Nak2 pulak dia jenis tak boleh dibangkang. Maka bermula jadual baru kami berpecah ke dua sekolah. Namun hasil merosot.

Pendapatan tetap pun dah tak ada. Aku minta belanja untuk bersalin. Diherdiknya aku “kau yang nak beranak, kau carilah duit sendiri.” Ok fine. Sejak aku berhenti kerja layanan tak semesra dulu. Ber-aku/kau je sekarang. Perempuan itu masih ada menjadi bayang2 dalam hidup kami.

Aku tak mau kena operate lagi. Lalu aku praktis banyak mencangkung. Semasa hamilkan Satu dulu, seminggu sebelum tarikh jangka, aku dah mohon cuti awal. Bermalas-malasan di rumah hingga baby pun lemak, tak berusaha untuk keluar. Aku pun manja. Sakit contraction sikit aku dah tak tahan, berulang ke hospital tapi pintu tak buka2 terpaksa balik dulu.

Jadi untuk Dua ni aku serik. Ku tahan saja setiap arus contraction yang datang. Hingga satu saat tindakan refleks, kaki terasa nak mengangkang dan meneran. Barulah tersedar masa dah tiba, kami berkejar ke hospital terdekat. Belum sempat nurse cek degup jantung bayi, aku dah nak meneran. Kelam kabut mereka tolak ke dewan bersalin. Alhamdulillah mudah sangat bayi keluar secara normal. 2.26kg.

Hasilnya : Anakku ini kecil rangkanya. Jiwanya rapuh.. fragile. Mudah menangis. Ketika dalam pantang, menangis sahaja susah dipujuk. Sampai kami risau kena sawan tangis. 2-3 kali kulihat suami menggoncangnya kerana gagal mendiamkannya. Aku takut sangat2 bila baby digoncang. Kerana aku pernah terbaca tentang ‘shaken baby syndrome’. Boleh cacat kekal.

Suami pernah hint2 kata ini bukan anaknya. Punca? Sebab muka Satu sebiji macam muka bapa. Muka Dua ini tak ada langsung ikut muka bapa, sebiji muka aku. Aku berang dan tanya dia balik dia nak tuduh aku curang dengan lelaki lain ke?

Dia diam saja tak berani jawab kerana dia sendiri tahu aku orang yang bagaimana. Tapi kesannya, dia dingin dengan anak ini. Sehingga kini umurnya dah 14 tahun, muka Dua dah berubah sebijik macam bapanya, namun layanan bapa terhadapnya masih dingin.

Semasa usia Dua 1 tahun, ku perasan ada bonjolan di dadanya. Turun naik klinik dan pakar untuk mencari puncanya. Akhirnya doktor kata ini dipanggil “bird’s chest”. Sejenis faktor genetik di mana tulang membonjol di bahagian dada seperti burung.

Biasanya kedua belah, tapi Dua punya sebelah sahaja. Bila diselidik, rupanya pakcik suami sebelah mak ada yang mempunyai “bird’s chest” ini. Allah, hebatnya kuasaMu. Membela aku di saat aku tak mampu mencelikkan hati manusia ini.

Dua lambat bercakap. Saat usianya 7 tahun dia masih belum pandai membaca. Namun di hujung2 tahun tiba2 dia pickup dengan laju sekali. Cikgunya gembira sangat dan kagum. Mata pelajarannya boleh kata semua corot terutama matematik. Subjek agama je yang ok sikit. Dua mudah hilang fokus dan mudah dipengaruhi. Aku cukup risau jika dia tersalah pilih kawan.

Dua baik dengan abahnya (suamiku). Sebab Dua lelaki maka suamiku lebih selesa untuk melayannya. Namun, tak dapat tidak, layanan anak sendiri mestilah akan tampak/rasa berbeza kan? Aku tak salahkan suamiku. Dia bujang. Berkahwin denganku yang ada 2 anak.

Aku sendiri pun tak tahu jika aku di kasutnya adakah aku boleh berlapang dada menerima anak orang lain. Bagiku dia dah menolong menanggung sama2 mereka berdua pun dah cukup rahmat. Apatah lagi bapa mereka cukup culas dengan nafkah anak.

Di usianya 10 tahun, Dua pernah bertanyaku kenapa aku perlu kahwin lain. Tak bolehkah kita hidup bertiga sahaja tanpa abah (suamiku) dan adik2? Allah.. runtun jiwaku. Bagaimana harus ku terangkan padanya bahawa aku perlu menstabilkan emosiku. Ketika hidup bertiga aku seringkali gagal mengawal amarahku. Aku pernah pukul2nya dengan rotan. Menangis2 Dua minta aku berhenti. Menangis2 Satu mohon jangan dipukul lagi adiknya.

Berapa umur mereka ketika itu? 4 & 3 tahun! Aku sedih sangat. Kasihan Dua. Pernah pula aku tolak Satu dan Dua keluar dari bilik tidurku dan kukunci bilik. Kerana aku bimbang akan menyakiti mereka lagi. Menangis2 mereka di luar bilik merayu2 aku buka pintu. Aku pun akan menangis sama sampai kemarahan ku reda dan aku mampu hadap mereka semula. Tapi bila besar mereka tak ingat semua itu.

Dua juga suka menangis. Sukar tidur. Malam2 kami akan tidur depan tv. Aku dan Satu dah terlena awal, dia pula akan tengok tv sorang2 sampai tertidur entah jam berapa. Banyak kali Dua tertidur tanpa tutup tv dan tv terpasang hingga aku terjaga.

Semakin Dua besar, semakin aku perasan ketidaknormalan padanya. Bila ku bandingkan Dua dengan adik-adiknya, Dua seakan lambat memproses maklumat/arahan. Jika diambil perbandingan komputer, ibarat pentium III dengan i7. Sedangkan jarak dia dengan adiknya Tiga ialah 5 tahun.

Puas ku kaji adakah dia terkena “baby shaken syndrome”? Tapi kriterianya tak sepadan sangat. Aku tak pernah membawanya berjumpa pakar kerana khuatir akan kos yang tinggi. Lagi pula, bapaku dan suamiku pun seakan ragu2 bila ku cuba berbincang tentang kekhuatiranku.

Hinggalah satu hari di tahun ini juga. Topik dalam radio hari itu tentang ADHD. Yang buat aku memasang telinga sungguh2 apabila pakar tersebut menyenaraikan kriteria pesakit ADHD dan bagaimana rakan sekerja dan majikan boleh membantu pesakit ini menjalani kehidupan normal.

Dan antara puncanya ialah : stress luar biasa yang dialami oleh ibu ketika mengandung! Malah kata pakar itu lagi, doktor2 wanita juga terdedah kepada risiko ini kerana kadar tekanan yang tinggi ketika bekerja. Allah.. terpempan aku. Rupanya akulah punca anakku jadi begitu.

– Mak Helang (Bukan nama sebenar) via iiumc