Artis

Tahniah kepada Apex Tajuddin menjadi juara Mentor Milenia 2019. Akhirnya impian Apex sudah menjadi kenyataan.

Malam semalam telah berlangsungnya Konsert akhir Mentor Milenia 2019 di saluran TV3. Pada konsert tersebut, empat protege yang dibimbing oleh empat mentor telah pun membuat persembahan memukau dan juara juga telah diumumkan. Para mentor yang bersaing membawa protege masing-masing adalah Hazama (Apex Tajudin), Stacy (Rika Riana), Black (Aedy Kama) dan Ernie Zakri (Daus Husny).

Malam itu, Hazama dan Apex Tajudin telah menggondol gelaran juara dan sekali gus membawa pulang Rm100,000, trofi serta motosikal. Apex atau nama sebenarnya  Ahmad Amirul Hafizi Ahmad Tadjudin, 23, membawakan lagu Merisik Khabar dan Fantasia Bulan Madu duet bersama mentornya.

Menerusi Harian Metro, Apex menjelaskan bahawa dia benar-benar bersyukur  berjaya memenangi Mentor Milenia 2019 kerana memang tekadnya untuk mengubah nasib keluarga memandangkan sebelum ini dia hanya seorang penyanyi jalanan dan isterinya sekadar berniaga nasi lemak di hadapan rumahnya di kampung.

Ditanya mengenai wang kemenangan, dia akan menunaikan hasrat untuk membawa keluarga menunaikan umrah serta membeli rumah untuk didiami isteri dan anaknya. Dia juga merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan nasi lemak yang diusahakan bersama isteri.

“Saya benar-benar berharap kejayaan ini bakal mengubah nasib keluarga saya kepada lebih baik. Apalagi saya cuma seorang penyanyi jalanan dan isteri peniaga nasi lemak kecil-kecilan.” Berkat kerja keras serta tunjuk ajar daripada Mentor, Apex Tajudin berjaya menggenggam gelaran juara sekali gus membawa hadiah utama pertandingan.

Selain daripada menerima hadiah tersebut, pemuda kelahiran Terengganu ini juga diberikan lagu pertamanya ciptaan Faizal Tahir berserta video muzik dan dijadikan lagu tema drama di TV3, waktu promosi TV dan radio bernilai RM500,000, serta dokumentari pendek kisah sepanjang di Mentor Milenia untuk siaran di saluran YouTube TV3.

Sumber : Harian Metro, Tv3 via KLPRESS