Wanita ini diperlakukan seperti ibu tumpangan rahim,kecewa bila family mertua tidak pernah mengatakan anaknya ade iras dia atau keluarga di sebelah dia.

Baby Kehidupan Keluarga Kisah Rumah Tangga Perkahwinan

Foto sekadar hiasan.Assalammualaikum. Saat saya menulis luahan ini keadaan saya sedang terasa hati dan keliru mengapa semua ini terjadi. Saya mohon jasa untuk pembaca memberi pandangan dan nasihat untuk saya bersangka baik dan bersikap positif pada hari-hari yang akan datang.

Saya telah melahirkan dua pasang cahaya mata. Comel, cerdik, tetapi semuanya mengenai mereka tidak satu pun dikatakan menyerupai saya dan keluarga saya. Semua ada pada anak-anak dikatakan mirip dan serupa dengan suami, nenek dan atok, makcik dan pakcik-makcik mereka, moyang dan buyut, saudara jauh mereka hingga biras saya sendiri.

Ianya akan diulang setiap kali kami berjumpa. Diulang setiap saat dan masa ketika berborak. Satu keanehan yang saya mulanya tidak ada masalah hingga saya tak mampu hendak menerimanya dan bersikap positif.Saya berkecil hati dan pelik kenapa tidak satu pun gen, baka atau kepintaran anak mengikut saya kerana semuanya dikatakan daripada sebelah suami.

Saya berkahwin dengan anak sulung keluarga ini dan saya melahirkan cucu sulung lelaki yang kini berumur 6 tahun dan cucu perempuan kini berumur 4 tahun.Tetapi hingga kini tidak satu pun pujian datang untuk ibu yang melahirkan. Ya tidak ada satu pun. Hingga saya bersalin secara operation pun dikatakan sebab saya demam.

Saya dikatakan tidak mampu meneran dan harus di operation kerana badan lemah.Cerita ini dijaja sehingga kini dan walaupun saya sudah menerangkan punca kerana ‘fetal distress’ dan jantung bayi sudah lemah tetapi masih lagi dikatakan demam dan lembik. Ya saya demam mengejut kerana badan saya tidak dapat menerima gas penahan sakit.

Saya akan muntah tiap kali menyedut gas tersebut hingga tiada isi pun dalam perut saya lagi. Saya merasakan sakit hendak bersalin tapi bukaan lambat dan memang sudah nasib saya dan saya redha dioperation.Selepas bersalin anak sulung, suami berkeras mahukan saya berpantang di rumah mertua.

Dan di situ saya dijaga makan. Saya berterima kasih kerana ibu mertua sudi memasakkan lauk khas untuk saya. Ianya sedap dan saya makan tanpa banyak soal walaupun lauk dan cara masak tidak pernah bertukar setiap hari sepanjang berpantang.Saya hanya mandi air paip biasa dan saya tidak mampu berdiri tegak walau selepas sebulan bersalin.

Saya terpaksa membongkokkan badan ketika berjalan. Saya terlampau sakit untuk berdiri. Saya juga terpaksa memegang dan membawa anak masuk dan keluar bilik sendiri semata-mata untuk tatapan mata orang lain.Saya berdiam diri, menanggung sakit tanpa ada yang sedar hingga bukaan jahitan perut saya terbuka betul-betul lepas sebulan berpantang.

Saya menangis dan menanggung sakit dan sejak itu baru saya duduk dan makan di dalam bilik sahaja.Tetapi saya tidak dapat menyimpan susu dan sering terganggu kerana mereka sering keluar masuk tanpa meminta kebenaran hingga nyaris aurat saya diperlihatkan kepada orang lain.

Selepas naik berkerja saya masih berasa sakit dan tidak boleh memakai kasut bertumit 1 inci sekalipun. Keadaan ini memang berbeza ketika dijagai ibu saya sendiri ketika berpantang anak kedua.Tak sampai seminggu saya mampu menegakkan badan dan walaupun sakit boleh dikatakan saya sihat.

Untuk anak kedua juga emergency ceaseran kerana air ketuban telah kering walau tidak ada kebocoran dan sekali lagi saya redha.Anak kedua lebih menyerupai dan berperwatakan seperti saya tetapi tetap dikatakan seperti anak perempuan mereka. Ibubapa saya juga ada cucu-cucu lain tetapi tidak pernah sekalipun mengatakan cucu mengikut mereka.

Selalu disebut ikut bapanya, ikut ibunya atau sebelah ibu mereka. Sedikit pun ibubapa saya tidak pernah mengatakan kata-kata yang boleh menyakiti menantu walaupun mereka berdua hanya orang kampung. Mereka sangat menjaga hati dan sangat menjaga hati besan mereka.

Saat bercerita mengenai saya ketika kecil bagaikan angin lalu ditelinga mereka dan dibalas bercerita mengenai keluarga mereka saja hingga mereka tiada ruang mencelah. Akhirnya ibubapa saya mengalah dan hanya senyum untuk tidak mengeruhkan keadaan.Mertua saya juga punyai cucu-cucu lain daripada anak perempuan mereka yang lain tetapi sangat jarang berjumpa kerana jarak yang terlampau jauh.

Cucu-cucu ini memang mengikut sebiji ibu dan bapa mertua tapi tidak pernah dipuji. Mereka tidak pernah dikatakan mirip mereka walaupun sedia bijak.Berlainan dengan anak-anak saya, semua kredit kelebihan, cantik serta bijak anak-anak saya semua dari sebelah suami.

Daripada rambut, muka, hidung yang mancung dan segala anggota badan hingga jari kaki mengikut sebelah suami walaupun suami memang berhidung melayu asli.Saya hanya berketinggian 161cm, mungkin agak rendah berbanding suami yang tinggi. Jadi mungkin itu tanda aras untuk anak-anak kami mengikut belah suami.

Bibir yang munggil pun dikatakan milik saudara mereka sedangkan terang sudah daripada keturunan saya. Mata cantik dan bulu mata melentik yang terang-terang mengikut saya pun tidak diakui.Sepanjang 6 tahun berkahwin, tidak pernah satu perkataan atau gambaran anak-anak saya mengikut saya dan ia berulang kepada anak kedua saya.

Sedikit pun tidak ada ikut ibunya, anak perempuan saya gemar berangan dan sukakan barang cantik walaupun lasak tetap ikut makciknya. Sangkaan saya kebanyakkan anak permpuan akan bersikap begitu kerana fitrah wanita sukakan benda cantik.Awalnya saya tidak kisah, saya sentiasa positif

kerana kebiasaan nenek dan atok akan teruja lagi-lagi dapat cucu berupa menarik, tetapi jika saban waktu, tiap kali datang menjenguk dan tiap saat menyatakan kemiripan dan perangai anak mengikut belah suami, saya mula terdetik. Hati saya mula terasa.Mengapa tidak satu pun dikatakan mengikut saya?

Jari kaki panjang mengikut mak saudaranya, kuku cantik seperti bapanya, rambut seperti neneknya, malah anak lelaki saya dikatakan mirip biras saya. Walaupun anak sulung saya hampir mengikut saya tetap dikatakan mirip biras saya yang sangat jauh berbeza.Saya rasa kecewa, hina sangatkah rupa saya,

buruk sangatkah muka saya hingga tidak ada satu pun boleh diakui saya telah warisi kepada anak-anak saya. Saya benar-benar rasa seperti ibu yang menumpangkan rahim untuk anak-anak ini keluar. Tidak ada satu kredit untuk ibu ini. Saya rasa kesal, kenapa saya berasa begini.

Saya rasa sedih, kecewa, rasa tak puas hati, saya tidak mampu berfikiran positif. Dan ya memang tiap-tiap kali berjumpa dan sepanjang pertemuan benda ini akan diulang-ulang hingga saya tak mampu nak menghadapinya lagi selama 6 tahun ini. Dicanang kepada semua orang berkenaan hal ini dan jika ada yang berlainan pendapat pun tetap dikatakan mirip keluarga mereka.

Keluarga suami sangat bangga dengan negeri kelahiran mereka. Walaupun tidak menetap di situ tetapi semua mengenai negeri mereka sangat dibanggakan. Cendol sedap hanya di situ asam pedas merekalah juara, kuih muih semua lazat dikatakan dibuat oleh orang senegeri mereka saja.

Saban waktu, saban masa, semua yang terbaik hanya bila datang dari negeri tersebut. Masakan saya tidak pernah ibu mertua saya puji dan akui sedap walaupun semua anak beranak mereka tambah berkali-kali. Tetapi kalau menantu adik iparnya dipuji melambung, asalkan bukan saya semuanya dipuji.

Ya mungkin saya memang tidak pandai memasak seperti beliau yang asal negeri sama. Saya asal kampung dari negeri yang lain dan asal pun di ceruk pendalaman di mana bapa mertua tidak suka perjalanan jauh. Mungkin sudah jodoh maka terikatla ikatan saya dan suami.Peranan suami? Suami hanya mendiamkan diri dan minta saya bersabar. Mohon saya tenang kerana normal nenek dan atok teruja pada cucu yang comel.

Adakah ini normal? Adakah saya yang terlalu prejudis dan bersikap mementingkan diri. Bagaimana saya harus terus positif dan berlapang dada?Dan saya minta maaf juga kepada pembaca sekiranya aturan cerita yang tidak teratur dan saya ingin meluahkan segala rasa yang gundah ini. Terima kasih kerana sudi membaca. Assalammualaikum.

– Aliah (Bukan nama sebenar) via iiumc